Tersepit Antara Abdullah Dan Mahathir
A Kadir Jasin
[Komen menggunkan "anonymous" tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama pena yang sesuai.]
UCAPAN Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran, Sabah pada 6 Ogos boleh dianggap sebagai analisis terbaik dan paling terbuka mengenai kesan pergeseran antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Kerajaan sekarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa tindakan bekas Perdana Menteri mengkritik kepimpinan negara dalam siri jelajahnya ke seluruh negara boleh menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau tidak menolak kemungkinan Umno dan BN terpaksa berdepan dengan suasana yang hampir serupa dengan pada pilihan raya umum 1999 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada parti dan Kerajaan.
Menurutnya, kegiatan Dr Mahathir itu bukan sahaja telah diambil kesempatan oleh parti pembangkang dengan menghadiri setiap ceramah beliau, malah ia juga mengelirukan ahli-ahli UMNO.
Apa yang tidak Radzi katakan atau jikalau beliau berkata tetapi tidak dilaporkan oleh Utusan adalah hakikat bahawa majoriti yang menghadiri ceramah Dr Mahathir setakat ini adalah ahli Umno dan penyokong Kerajaan.
Malah kesemua atau sebahagian besar daripada penganjur ceramah beliau sehingga kini adalah ahli dan pemimpin Umno. Inilah yang sebenarnya menakutkan pemimpin veteran Umno seperti Radzi yang pernah menjadi mangsa serang balas Dr Mahathir.
Radzi, sebagai anak Allahyarham Menteri Besar Perlis, Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim, cukup kenal siapa Dr Mahathir kerana bapa beliau adalah antara pemimpin era Tunku Abdul Rahman Putera yang cukup dihormati oleh Dr Mahathir.
Malah kalangan politik menganggap penerimaan semula Radzi ke dalam Umno ada kena mengena dengan rasa terhutang budi Dr Mahathir kepada Sheikh Ahmad.