بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.
![]() |
| Muhyiddin dan Fayhsal muncul daripada Gerakan Sheraton |
SAYA berfikir lama dan
dalam sebelum menulis rencana ini kerana dua watak pencetusnya adalah dua orang
anak muda yang saya sayang dan menaruh harapan tinggi bahawa mereka akan
menjadi antara pewaris kepemimpinan negara tidak lama lagi.
Untuk sekian lama saya
berpendapat bahawa sudah sampai masanya kita mula bergerak secara serius
membina kepemimpinan baru yang terdiri daripada generasi muda.
Maka atas kepercayaan
itulah saya menaruh harapan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Wan Ahmad
Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta penggiat-penggiat politik yang seangkatan atau
lebih dewasa sedikit daripada mereka.
Mungkin ramai tidak setuju dengan saya, tetapi saya terus menaruh harapan kepada watak-watak seperti Nurul Izzah Anwar, Fahmi Fadzil, Hannah Yeoh, Liew
Chin Tong, Darell Keiking, Anthony Loke dan Ulya Aqamah Husamudin (Ahli MPT Bersatu) untuk menyebut beberapa orang.
Malang sekali, atau
mungkin juga di sebaliknya, rahmat, maka berlakulah rampasan kuasa Langkah Sheraton
(the Sheraton Move) yang menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan terbongkarlah rahsia sebenar di sebalik dua watak ini.
Saddiq memilih untuk
menongkah arus kerana berpegang kepada prinsip perjuangan dan menghormati
mandat yang diberikan oleh rakyat jelata dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Dia sudah pun mula ditekan
dan diasak oleh pelbagai ‘forces’ tangan hitam di peringkat pusat dan negeri Johor.
Fayhsal pula memilih untuk
mengambil laluan laju bagi mengisi citi-cita politiknya yang sangat tinggi melalui persekongkolan
dengan konspirator Langkah Sheraton.
Saddiq menyokong bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan
Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari dan akhirnya hilang jawatan Menteri.
Fayhsal memilih untuk bersama-sama
dengan yang menang, dilantik Senator dan menjadi Timbalan Menteri. Sekarang dia sedang
mencabar Saddiq untuk jawatan Ketua Armada Bersatu.
Dalam percubaan
mempertahankan cabarannya terhadap Saddiq agar tidak nampak oportunistik, Fayhsal menulis
catatan berikut dalam platform sosial medianya yang berbunyi:
“Wait for my nationwide
tour to campaign for my Ketua Armada candidacy (sic). I will clear the air. I
did not betray Saddiq neither Tun (sic). Our political differences in Bersatu
are akin to Saydina Ali vs Mu’awiyyah. Those who called others as TRAITOR is (sic)
an extremist like the Khawarij.”
(“Tunggu sehingga saya menjelajah
negara untuk berkempen bagi jawatan Ketua Armada. Saya akan beri penjelasan.
Saya tidak mengkhianati Saddiq atau Tun. Perbezaan politik kita dalam Bersatu
adalah umpama Saiyidina Ali melawan Mu’awiyyah. Mereka yang memanggil orang
lain PENGKHIANAT adalah pelampau seperti Khawarij.”)
Ya, dia memilih untuk menulis
prakata kepada manifestonya dalam bahasa Inggeris seperti Muhyiddin Mohd Yassin
yang menggulung pembentangan Pakej Rangsangan Ekonominya 27 Mac dalam bahasa
Inggeris juga.
Dalam penggulungan bahasa
Inggeris itu, Muhyiddin antara lain, berkata: “And, this government may not be
the government that you vote (sic) for.” (Dan kerajaan ini mungkin bukan kerajaan
yang anda pilih.)
Adakah Fayhsal dan
bos nombor satunya dalam kerajaan dan parti tidak berani membuat pengakuan masing-masing dalam bahasa Melayu
kerana bimbang difahami oleh lebih banyak orang?
Tidak Ada Khawarij
Jawapan saya mudah saja.
Tidak ada Saidina Ali, tidak ada Mau’awiyah dan tidak ada Khawarij dalam keputusan MPT Bersatu pada 23 Februari untuk keluar PH!
Itu hanya cerita budak
cerdik yang belum pandai politik tetapi cuba mengabui mata khalayak dengan
cerita-cerita kayangan yang dipelajarinya di kuliah-kuliah universiti yang
tidak ada makna dalam tendang terajang politik yang sedang dia dan feksyennya
dalam Bersatu sedang mainkan.
Saya ada di situ, di
Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, dalam bilik mesyuarat yang amat dingin
pada siang hari, 23 Februari lalu, bagi menghadiri mesyuarat tergempar MPT Bersatu.
Tidak ada Ali. Tidak ada
Mu’awiyah. Tidak ada Khawarij. Yang ada adalah kegilaan kepada kuasa dan
pengkhianatan terhadap mandat rakyat jelata dalam PRU 9 Mei 2018.
Manteranya adalah, kalau
Bersatu tidak keluar PH, ia akan kalah dalam pilihan raya umum akan
datang. Untuk itu, kata Muhyiddin dengan disokong kuat oleh para pengikutnya, “kita
wajib keluar hari ini juga.”
Sorak-sorai, berebut pembesar
suara dan menghentak meja menenggelamkan rayuan Dr Mahathir agar beliau tidak ditekan
dan dipaksa untuk mengorbankan prinsip dan memungkiri janji.
Yang tinggal menyokong beliau
boleh dikira dengan jari tangan saja. Sebagai seorang demokrat, Dr Mahathitr secara terbuka mengaku bahawa beliau tidak lagi mempunyai suara terbanyak dalam MPT.
Yang beliau minta hanyalah sedikit masa untuk berfikir. Itu pun tidak dihiraukan. Malam itu juga Langkah Sheraton dilaksanakan.
Demikianlah buruknya
layanan yang mereka berikan kepada orang tua yang memimpin mereka bagi
mengalahkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional dan menaikkan mereka menjadi
Menteri, Timbalan Menteri dan pelbagai lantikan lagi.
Maaf kalau saya katakan
dengan rasa kecewa dan dukacita bahawa Fayhsal kini muncul sebagai simbol
kepada hipokrasi, ketamakan kuasa dan pengkhianatan terhadap keunggulan, prinsip
dan perjuangan yang melahirkan Bersatu.
Saya sudahi dengan sebuah pantun
nasihat peninggalan nenek moyang kita:
Pergi memburu di padang
datar
Dapat rusa belang kaki
Kalau berguru kepalang
ajar
Ibarat bunga kembang tak
jadi.
Wallahuaklam. Terima
Kasih.



